MUKADIMAH: “TUNGGU dan lihat nanti.” Itulah reaksi Ketua Puteri UMNO, DATUK ZAHIDA ZARIK KHAN ketika ditanya apakah perancangan beliau untuk menarik sokongan golongan muda kepada UMNO. Walaupun bunyinya seperti berahsia, namun beliau memberikan bayangan kaedah yang bakal digunakan adalah luar daripada kebiasaan.
Menurut Zahida, sebagai
pembangkang, usaha untuk merekrut ahli atau rakyat yang ingin
bersama-sama berjuang tidak lagi sesukar sebelum ini. Katanya,
kepercayaan rakyat kepada UMNO akan datang dengan sendirinya apabila
kerajaan hari ini gagal menunaikan janji, menindas rakyat dan
mengabaikan soal hak-hak sesuatu kaum.
“Dalam perjuangan, prinsip saya mudah. UMNO tidak perlu bersusah payah menegakkan perkara yang sukar. Kita jalani hari mendatang dengan gerak kerja dan perancangan yang telah digariskan,” katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI.
MINGGUAN: Tahniah terpilih sebagai
Ketua Puteri UMNO yang baharu. Dalam keadaan UMNO kehilangan kuasa dan
tiada apa-apa untuk ditawarkan, kenapa Datuk memilih untuk bertanding
sebagai Ketua Puteri UMNO?
ZAHIDA: Saya membuat
keputusan untuk menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Puteri lebih
kepada keyakinan saya pada perjuangan parti keramat ini dalam usaha
mengembalikan perpaduan, kekuatan dan kelestarian negara pada masa
depan.
Fakta membuktikan bahawa parti ini tidak
melakukan apa-apa kesalahan dan saya tidak boleh lari meninggalkan
perjuangan murni ini demi kepentingan peribadi semata-mata.
Ramai sudah menjangkakan kemenangan
Datuk sebagai Ketua Puteri kerana Datuk adalah Naib Ketua Puteri UMNO
sebelum ini. Tetapi bagaimana Datuk melihat sokongan yang diberikan oleh
perwakilan kepada Datuk?
ZAHIDA: Alhamdulillah,
penerimaan ini merupakan satu pengiktirafan ahli-ahli Puteri pada gerak
kerja dan sumbangan saya selama ini. Kemenangan besar ini juga merupakan
satu cabaran kepada saya untuk memulakan satu lonjakan baharu dalam
usaha menarik golongan muda menyertai parti ini.
Desakan supaya UMNO berubah sudah
lama kedengaran dan semakin jelas apabila UMNO dan BN kalah dalam
PRU-14. Sebagai Ketua Puteri UMNO, perubahan yang bagaimanakah Datuk
mahu bawa ke dalam Pergerakan Puteri?
ZAHIDA: Insya-Allah, dalam
masa terdekat saya akan memulakan beberapa pendekatan baharu yang akan
menunjukkan bahawa Puteri UMNO memang bersedia untuk berubah selari
dengan kehendak anak-anak muda masa kini.
Dalam melakukan perubahan ini pasti ada yang
bersetuju dan tidak bersetuju, namun bagi saya, itu tidak penting. Apa
yang mustahaknya, kita perlu dilihat benar-benar ingin melakukan
transformasi secara total.
Kalau dibandingkan dengan parti-parti
dalam Pakatan Harapan (PH), UMNO dilihat kurang ikon wanita muda yang
dapat menarik minat golongan muda kepada parti itu. Apakah aspek ini
akan diberikan penekanan dan apakah yang dilakukan untuk melahirkan ikon
Puteri UMNO?
ZAHIDA: Kita ada ramai ikon
yang diperkenalkan selama ini. Macam-macam anugerah kita bagi kepada
ikon anak muda. Cuma kita tidak menggunakan ikon kita secara ekstrem
sebagaimana Pakatan Harapan menggunakan ikon anak muda dalam parti
mereka. Jika itu yang anak muda harapkan, ya, puteri UMNO akan ke arah
itu.
Usaha untuk memulihkan UMNO tidak
mudah kerana mungkin sebahagian ahli akan lari ke parti PH kerana “semut
akan pergi ke mana ada gula”. Ada pihak mengatakan selama ini UMNO cuma
melahirkan ramai 'pekerja berbayar' dan bukannya pejuang parti.
Bagaimana datuk akan menangani cabaran ini?
ZAHIDA: Bukan semua orang
berjuang atas kepentingan peribadi atau kerana imbuhan. Saya tidak akan
merendahkan imej ahli-ahli Puteri dengan bercakap atau melabel mereka
berjuang untuk upah. Saya yakin di luar sana ramai yang ikhlas dalam
perjuangan.
Perkaderan adalah penting bagi
melahirkan pemimpin pelapis. Apakah program yang akan dilaksanakan oleh
Puteri UMNO bagi memupuk jati diri ahli Puteri yang menghayati dan
ikhlas dalam perjuangan?
ZAHIDA: Ya, saya akui
perkaderan adalah asas utama kelangsungan sesebuah parti. Persoalannya
apakah kita gagal selama ini? Kita ada Biro Tatanegara (BTN), Jabatan
Hal Ehwal Khas (Jasa), persatuan pelajar dan sebagainya, namun kita
tetap gagal memenangi hati pengundi muda dalam PRU-14.
Apa yang ada di atas kertas tidak semudah
untuk dilaksanakan. Biarlah saya terjemahkan gerak kerja perkaderan ini
dengan cara yang berlainan daripada saya bercakap soal ‘blueprint’ dan
perancangan yang biasa. Tunggu dan lihatlah nanti.
Walaupun pemilihan UMNO baru-baru ini
ibarat pertandingan dalam keluarga, tetapi tak dapat dinafikan bahawa
ada ahli dan pemimpin yang mungkin kecewa dengan keputusan dan
dibimbangi UMNO terus berpecah. Apakah pesanan Datuk kepada pemimpin dan
ahli UMNO?
ZAHIDA: Semua pemimpin dan
ahli UMNO perlu sedar bahawa perpecahan dalam keluarga tidak akan
membawa ke mana. Yang penting sebagai pemimpin, saya menghormati segala
keputusan yang telah dibuat. Insya-Allah kita akan bergerak ke depan
untuk bangkit kembali dengan semangat juang yang lebih membara.
Media sosial kini adalah platform
penting untuk menyampaikan maklumat dan berkempen. Bagaimana Puteri UMNO
akan memanfaatkan platform ini?
ZAHIDA: Kalau dilihat
sebelum PRU-14, UMNO memang menguasai media sosial. Cuma kita gagal
menguasai untuk mengubah persepsi buruk rakyat kepada kerajaan.
Hari ini boleh dikatakan semua anak muda
mempunyai sama ada Facebook, Instagram atau Twitter. Persoalannya,
berani atau tidak ahli UMNO berhujah dengan penyokong kerajaan?
Senario hari ini berbeza. Ini kerana dahulu
kita berhujah menyokong kerajaan tetapi hari ini kita tak perlu mengajak
rakyat bersama kita kerana secara tak langsung rakyat yang marah akan
menunjukkan emosi mereka kepada pemerintah. Usaha merekrut tak sesukar
dahulu lagi.
Dengan pelbagai imej negatif yang
terpalit kepada UMNO sekarang, apakah usaha Puteri untuk mememulihkan
imej ini bagi mendapatkan kepercayaan rakyat?
ZAHIDA: Kepercayaan rakyat
akan datang dengan sendirinya bila kerajaan hari ini gagal menunaikan
janji, menindas rakyat dan mengabaikan soal hak-hak sesuatu kaum.
Dalam perjuangan prinsip saya mudah, UMNO
tidak perlu bersusah-payah menegakkan perkara yang sukar. Kita jalani
hari mendatang dengan gerak kerja dan perancangan yang telah digariskan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/puteri-sedia-berubah-1.704780#ixzz5Kh67OlUl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment