Saturday 9 February 2019

Isu RM90 Juta Cubaan PH Rosakkan Kerjasama UMNO Pas



KUALA LUMPUR, 9 Feb – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata, tuduhan kononnya UMNO memberi Pas RM90 juta sebenarnya hanyalah satu cubaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu melemahkan kerjasama kedua-dua parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Jelas beliau, mungkin kerana melihat kejayaan gabungan UMNO dan Pas di PRK Cameron Highlands maka fitnah demi fitnah ditabur demi merosakkan kesatuan ini.

“Jangan gentar serangan mereka. Kita teruskan perjuangan hingga PH tumbang,” ujar beliau menerusi laman sosial twitter.

Tambah beliau, isu RM90 juta ini juga sengaja ditimbulkan bagi mengalih isu terhadap soal yang sering ditanya oleh rakyat iaitu keadilan untuk anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib. – MediaUMNO

Puteri Umno dah tak 'diva' lagi



SHAH ALAM - Puteri Umno tidak lagi boleh berasa diri mereka sebagai
‘diva’ sekiranya mahu melihat Umno terus kekal relevan di hati rakyat.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, pemimpin Puteri tidak kira di
peringkat pusat dan bahagian perlu sentiasa bersama dan mendengar suara
akar umbi.

“Puteri tidak boleh lagi merasakan diri mereka eksklusif ataupun rasa
diri sebagai 'diva'.

“Muhasabbah diri dan perbaiki kesilapan lepas. Puteri perlu menjadi
deria rakyat, sentiasa mendengar dan angkat suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas
mengenai amanat Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas
presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Program Bicara Minda anjuran
Kumpulan Karangkraf di sini, semalam.

Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat mengingatkan ahli dan
pemimpin Umno agar tidak mengulangi sikap bodoh sombong yang menyebabkan
kekalahan parti itu dalam PRU14.

Beliau turut menyatakan bahawa kemarahan rakyat dengan Umno bukan
disebabkan Umno tetapi kepimpinan ketika itu.

Justeru Zahida berkata, rakyat menolak Umno adalah kerana mereka mahu
pemimpinnya berubah untuk menjadi lebih baik.

“Kami akui sebelum ini, pemimpin Umno ada sikap bodoh sombong dan ego
tinggi, namun kekalahan lalu dijadikan pengajaran dan sekarang Umno
dalam proses perubahan dan pemulihan,” katanya.

- SINAR HARIAN -