Saturday 10 May 2014

Puteri UMNO yakin dapat raih sokongan golongan muda

Zahida Zarik Khan (tengah) dan sukarelawan GSST meraikan Hari Ibu bersama warga emas dan OKU di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Kamal Basir Wahab
 
KUALA LUMPUR 9 Mei - Pergerakan Puteri UMNO yakin dapat meraih sokongan daripada golongan muda melalui pelbagai program yang dianjurkan pihaknya di seluruh negara.

Naib Ketuanya, Zahida Zarik Khan berkata, antara program yang dianjurkan pihaknya meliputi kursus dan kempen kepada golongan muda untuk menanam sikap sayangkan bangsa, agama dan jati diri.

“Puteri UMNO berperanan sebagai pengantara kepada golongan muda dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan, pendidikan serta perniagaan kepada golongan tersebut.

“Kami juga menganjurkan program yang menjurus kepada perjumpaan bersama golongan muda, mengenal pasti masalah mereka serta mengajak mereka menyertai Puteri UMNO," katanya.

Beliau ditemui dalam majlis meraikan Hari Ibu bersama warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dengan kerjasama Global Support Super Team (GSST) di bawah kelolaan Biro Antarabangsa, Pergerakan Puteri UMNO di Tasik Titiwangsa, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zahida berkata, jentera Puteri UMNO sudah bersiap sedia untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan.

“Kita akan turun padang untuk membantu sebaik mungkin dalam usaha memenangi dua PRK berkenaan," katanya

Artikel Penuh: Utusan Melayu (M) Bhd