Wednesday 10 October 2018

ADUN Dap Patut Mohon Maaf Secara Terbuka, Bukan Terus Berlagak ‘Samseng’




KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pergerakan Puteri UMNO turut mengecam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dap Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee ekoran tindakannya yang bersikap kasar kepada para penduduk sebagaimana tular menerusi media sosial sejak semalam.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata sepatutnya Norhizam sebagai wakil rakyat datang selesaikan masalah dan bukan tambah masalah.

“Saya perhati saja YB Dap yang ‘viral’ sejak semalam. Sepatutnya beliau belajar balik apa itu adab. Sebagai wakil rakyat sepatutnya datang selesaikan masalah bukan tambah masalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi video yang tular, Norhizam yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka telah meninggikan suara kepada penduduk berkaitan masalah penutupan jalan di Taman Akasia, Melaka yang turut mengundang kecaman dari natizen.

“Eloklah YB mohon maaf secara terbuka, bukan terus dengan kenyataan berlagak ‘samseng’. Kalau tak mampu galas tugas dengan baik dan profesional sila letak jawatan,” kata Zahida lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Norhizam juga telah memberi amaran dan notis 24 jam kepada pihak yang masih terus dengan tabiat menularkan video beliau dan akan menyaman mereka dalam masa terdekat.

Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi Dap Negeri Melaka berkata ada kewajarannya beliau bertindak sedemikian kepada penduduk setempat.

Menurut laporan, ini bukan kali pertama Norhizam bertelagah dengan masyarakat kerana sebelumnya dalam insiden video serbuan sebuah stor di Merlimau yang didakwa menjadi tempat menyimpan baja subsidi kerajaan, beliau turut meninggikan suara dengan menengking seorang pemuda selain video rakaman beliau bertengkar dengan sekumpulan nelayan di Kampung Pantai Hailam yang turut tersebar. – MediaUMNO

No comments:

Post a Comment