Tuesday 23 September 2014

#PengkalanKubor - Puteri UMNO Manfaat Tempoh Kempen Saat Akhir




TUMPAT, 23 Sept – Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Zahida Zarik Khan berkata, baki tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang tinggal beberapa hari lagi akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pergerakan itu untuk mendekati pengundi.

Menurut beliau lebih 500 jentera Puteri yang telah berkampung di kawasan tersebut sejurus penamaan calon akan memberi lebih tumpuan kepada pendekatan bersemuka dan menjawab segala kemusykilan yang timbul dalam usaha membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) nanti.

“Pelbagai aktiviti di akar umbi  juga telah dilakukan demi untuk mendekati 5,421 pengundi muda di sini. Insyaallah  Puteri akan terus mempergiatkan aktiviti bagi memastikan pengundi muda keluar mengundi. Ini penting kerana kita mahu BN  terus mempertahankan kerusi yang kita menang ini.

“Inilah satu-satunya DUN yang kita menang di Parlimen Tumpat maka kita harus pertahankannya,” ujarnya dalam sidang media selepas menghadiri Program ramah mesra bersama penduduk di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bunohan.

Tambah beliau lagi, gerak kerja Puteri terasa agak mudah di sini kerana ketika turun padang, rata-rata menyatakan sokongan terhadap Calon BN iaitu Mat Razi Mat Ail.

“Ramai yang mengenali calon BN. Mereka juga melahirkan rasa yakin terhadap Mat Razi untuk meneruskan perkhidmatan terbaik allahyarham Noor Zahidi (Pok Di).

“Arwah Pok Di memang meninggalkan kesan yang amat baik terhadap parti. Maka saya berharap ini akan membantu kita meraih majoriti yang tinggi. Walaupun terasa gerak kerja turun padang agak mudah tetapi Puteri tidak mahu terlalu yakin dan mengurangkan rentak gerak kerja.

“Kita akan terus berusaha sehinggalah ke akhirnya untuk membantu BN menang di sini,” jelasnya lagi.
PRK DUN Pengkalan Kubor itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. - MediaUMNO

No comments:

Post a Comment