Tuesday 18 February 2014

Kerajaan Selangor diminta atasi masalah air di Dengkil



SEPANG 17 Feb. - Kerajaan negeri Selangor digesa turun padang untuk melihat kesengsaraan rakyat di kawasan Dengkil yang sudah terputus bekalan air sejak 11 hari lalu.


Naib Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin untuk menyelesaikan masalah tersebut.


Beliau mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa politik dengan pandai bercakap semata-mata.

"Ketika ini kira-kira 8,000 pemegang akaun Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang terdiri daripada 30,000 pengguna terputus bekalan air di kawasan Dengkil.

"Mereka kini bergantung kepada sumber air semula jadi iaitu perigi dan bantuan Syabas yang menghantar air menggunakan lori tangki 24 jam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Labuhan Dagang di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan 350 kotak air mineral kepada penduduk di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Dengkil di sini bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil, Shahrum Mohd. Shariff.

Zahida berkata, pihaknya akan terus memberikan sumbangan kepada orang ramai yang terjejas jika masalah bekalan air terus berlanjutan.

Sementara itu Shahrum berkata, setakat ini, pihaknya telah menyerahkan 5,000 kotak air mineral kepada penduduk hasil sumbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan, Angkatan Tentera Malaysia dan badan-badan korporat.


"Semua pihak turut diminta melakukan solat hajat bagi memohon hujan agar kadar ammonia di kawasan tadahan air di Bukit Tampoi dapat dineutralkan," katanya.



Artikel Penuh: Utusan
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment