Tuesday 14 August 2018

Kerajaan perlu tegas pertahan prinsip Islam - Puteri UMNO



KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa perlu tegas dalam mempertahankan prinsip agama Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kerajaan tidak seharusnya melayan permintaan kumpulan kecil dari golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seperti yang berlaku hari ini.
“Hari ini golongan LGBT mahu berkongsi tandas, adakah jika dilayan satu hari nanti mereka akan menuntut hak perkahwinan sesama jantina?.

“Kita hormati hak-hak kemanusiaan seperti pekerjaan, perniagaan, menerima kebajikan sekiranya layak dan lain-lain selagi tidak melanggar undang-undang. Tetapi tidak kepada hal-hal yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Friday 3 August 2018

GELAR BELIA MACAI POLITIK, MENTERI MESTI MOHON MAAF



Seperti semua maklum gelaran 'Macai' yang disebut oleh YB Syed Saddiq dalam sidang Dewan Rakyat semalam bukanlah membawa maksud yang positif.

Gelaran tersebut kebiasaanya digunakan sebagai 'lable' kumpulan tertentu dengan niat merendahkan taraf pemikiran mereka.

Jadi sebagai seorang ahli parlimen muda yang juga Menteri Belia dan Sukan tidak sepatutnya bersikap celupar dengan memberi gelaran tidak baik kepada kumpulan anak muda yang besar sumbangannya kepada pembangunan belia dan sistem politik negara.

Walaupun beliau punyai alasan 'relevan' yang  mahukan pertubuhan belia bersifat berkecuali dan neutral, namun untuk menggelar kami sebagai 'Macai Politik' adalah satu tindakan keterlaluan.

Adakah Yb Syed Saddiq tidak tahu ramai dikalangan aktivis belia yang bergiat aktif  dalam pertubuhan NGO belia seperti GPMS, MAYC, 4B, persatuan-persatuan belia di peringkat daerah, negeri dan negara adalah mereka yang bukan berlatar belakangkan parti politik? Gelaran ini amat mengecewakan kami para belia yang sentiasa harmoni walaupun berbeza idealogi politik.

Kami mendesak YB Menteri supaya menarik balik kenyataan tersebut dan mohon maaf kepada para belia seluruh negara. Hubungan baik pertubuhan belia dan kerajaan mestilah terus dijaga agar kita dapat sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.

ZAHIDA ZARIK KHAN
(Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia)
3 Ogos 2018