Sunday 21 June 2015

SHOPPING RAYA UNTUK 5 BERADIK YATIM PIATU [ 25 GAMBAR ]




Ingat lagi tak kejadian Lima beradik menjadi yatim piatu dengan sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut digilis sebuah lori dalam satu kejadian langgar lari di susur Jalan Chan Sow Lin pada  Mei 2014.

Hari ini 20 Jun 2015 saya bersama Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan dan Ketua Ketua Puteri Bahagian dalam Wilayah persekutuan berkesempatan meluangkan masa bersama 5 beradik ini. Shopping baju raya dan berbuka puasa bersama.

Hanya Allah yang tahu tentang kesedihan yang dialami 5 beradik ini. Tapi kami datang cuba membawa kegembiraan kepada mereka.

Semoga sedikit sumbangan ini dapat menceriakan adik adik menjelang Aidilfitri nanti.
 

Monday 4 May 2015

#MyviFamilia Pengendali laman FMC tidak ada kaitan dengan Puteri UMNO


#MyviFamilia Pengendali laman FMC tidak ada kaitan dengan Puteri UMNO

Kenyataan media Ketua Pergerakan Puteri UMNO berhubung isu kemalangan DUKE

Pergerakan Puteri UMNO menafikan pengendali laman Familia Myvi Club (FMC) yang dikenali dengan panggilan Yana mempunyai kaitan dengan sayap parti berkenaan.

Bagaimanapun, saya meminta pihak berkuasa berkenaan menyiasat segera siapa sebenarnya dalang di belakang laman berkenaan yang memburuk-burukkan nama Puteri UMNO sekali gus cuba menyembunyikan perbuatan jahat mereka di bawah nama parti.

Saya sudah merujuk nama pengendali laman berkenaan dan mendapati tidak mempunyai rekod di dalam senarai ahli Puteri UMNO Gombak seperti yang didakwa.

Malah, wajah yang dipaparkan yang mendakwa pengendali laman itu turut tidak dicam ahli pergerakan Puteri UMNO Gombak sendiri.

Saya memberi amaran kepada mana-mana ahli FMC yang terlibat di dalam insiden Sabtu lepas untuk segera tampil dan memberi kerjasama demi menyelesaikan isu ini segera.

Beberapa dakwaan yang mengatakan mereka dilindungi 'orang dalam' juga seharusnya disiasat selain diambil tindakan sewajarnya.

Saya melihat tindakan sebegini lebih kepada usaha menyelamatkan diri dan tidak cuba memberi kerjasama untuk membantu polis dalam siasatan, tindakan sebegini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Puteri UMNO juga tidak akan berkompromi dalam isu ini selain mahukan pembelaan adil terhadap keluarga mangsa.

Jelas, kemalangan yang berlaku Sabtu lepas merupakan kejadian yang menyayat hati sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi yang menjadikan rakyat negara ini tuding-menuding dan meletakkan kesalahan kepada pelbagai pihak tanpa pengesahan pihak berkuasa.

Apa yang pasti, dua kanak-kanak kecil sudah menjadi yatim piatu kerana kehilangan ibu bapa dan perlu dibela serta diberi kasih sayang sehingga dewasa.

Saya melawat kanak-kanak ini selepas mendapat tahu situasi yang menimpa mereka. Pergerakan Puteri juga melahirkan rasa simpati dengan kejadian yang menimpa dan meminta pembelaan sewajarnya diberikan kepada kedua anak kecil ini.

Nur Firuza Amira, 7 dan adiknya Nur Firuza Aqila,4, menjadi yatim piatu selepas ibu bapa dan adik mereka terlibat dalam kemalangan tersebut.

Saya turut merasa pilu dan sangat sedih apabila melawat mereka dan mendengar sendiri rintihan Nur Firuza yang mahu pihak berkuasa menangkap individu yang melanggar ayah mereka.

Mangsa, Fairuz Nizam Husain,35, yang memandu Pajero Sport disahkan maut di tempat kejadian sementara isterinya, Nova Safitri Azhari,27, dan bayinya, Nur Firuza Annisa yang turut tercampak ke jalan raya dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berdasarkan maklumat yang menjadi viral di laman sosial, kemalangan dipercayai berpunca daripada enam kereta Perodua Myvi yang sedang berlumba sebelum dua daripadanya bergesel dan merempuh sehingga terbalik Pajero Sport yang dinaiki mangsa.

Bagaimanapun dakwaan itu masih dalam siasatan pihak polis.

Saya berharap, isu pengendali laman FMC yang mendakwa merupakan ahli Puteri UMNO sudah diterangkan dan dapat dihentikan segera.

YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Puteri UMNO
Ahli Parlimen Masjid Tanah

4 Mei 2015

Monday 27 April 2015

#PRKRompin: 1,500 Puteri UMNO bantu dalam media sosial


ROMPIN: Kira-kira 1,500 anggota Puteri UMNO kini giat mendekati pengundi muda secara bersemuka dan menerusi media sosial bagi memberi perjelasan dan menangkis tuduhan dilemparkan pembangkang terhadap Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Naib Ketua Puteri UMNO Zahida Zarikh Khan berkata pasukan khas 'Barisan Semut Api' yang ditubuhkan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2014 telah digerakkan untuk menepis propaganda pembangkang dalam media sosial.

Katanya pasukan itu berperanan untuk menjawab persoalan dan menangkis segala penipuan dan fitnah tentang pelbagai isu termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang dimainkan pihak pembangkang.

"Kami gunakan pasukan semut api ini untuk membetulkan semula pemahaman masyarakat terutama golongan muda mengenai isu-isu yang telah diputar-belit oleh pembangkang terutama mengenai pelaksanaan GST," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media di Kolej Komuniti Rompin, di sini hari ini.

Bagi mendekati golongan muda di kawasan terpencil, Puteri UMNO menggunakan 'Pentas Anak Muda' bagi memberi ceramah dalam bentuk kecil-kecilan untuk menepis dakyah  pembangkang, katanya.

Pentas itu juga menjadi jalan terbaik bagi Puteri UMNO mendekati golongan tersebut selain menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih mengenai usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan Rompin, kata Zahida.

"Sejak hari penamaan calon kami sudah berjuma kira-kira 10 peratus pemuda dan wanita di kawasan Rompin ini. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan saya percaya ini merupakan satu petanda positif untuk BN mencatatkan kemenangan dengan majoriti undi lebih baik," katanya.

Daripada 53,294 penduduk Rompin yang layak mengundi pada PRK Rompin kali ini, 24,603 merupakan pengundi muda iaitu 12,417 wanita dan 12,186 lelaki.

Calon BN Datuk Hasan Arifin dicabar oleh calon PAS Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu pada PRK 7 Mei ini berikutan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak enam penggal lepas apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. - Awani -

Monday 26 January 2015

MEROTAN SEBAGAI KESALAHAN JENAYAH - MOHON DI KAJI SEMULA



KUALA LUMPUR 25 Jan. - Pergerakan Puteri UMNO Malaysia hari ini menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkaji secara terperinci cadangan menjadikan merotan sebagai kesalahan jenayah dalam akta baharu yang akan digubal bagi menggantikan Akta Kanak-kanak 2001.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kajian tersebut perlu merangkumi segala aspek terutama berkaitan tuntutan agama Islam yang mengharuskan ibu bapa merotan anak-anak bagi tujuan mendidik.

“Perkara ini perlu dikaji secara mendalam dengan melibatkan pandangan banyak pihak dan meneliti pelbagai aspek termasuk peranan ibu bapa untuk mendidik anak dengan cara yang tersendiri kerana ibu bapa lebih mengenali anak-anak mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebooknya hari ini.
Advertisement

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata demikian bagi mengulas cadangan kementerian tersebut yang mahu menjadikan hukuman merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah sesuai dengan perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang turut ditandatangani oleh Malaysia.

Mas Ermieyati berkata, kementerian terbabit perlu meneliti tafsiran merotan yang terkandung dalam perjanjian CRC kerana ia merujuk aspek penderaan terhadap kanak-kanak.

Katanya, kementerian itu juga perlu memperincikan pelaksanaan hukuman rotan itu memandangkan merotan dalam Islam adalah dibenarkan dan merupakan sunnah kerana bertujuan mendidik dan bukannya mendera.

“Di negara ini kebiasaannya anak-anak dirotan bukan untuk mendera sebaliknya yang berlaku ialah kanak-kanak didera secara mental seperti dikurung dan dipukul secara fizikal.
Advertisement

“Kami bimbang jika pelaksanaan hukuman itu diteruskan berkemungkinan akan berlaku banyak kes seperti pasangan Malaysia di Sweeden iaitu peningkatan statistik anak-anak dipisahkan daripada ibu bapa mereka,” katanya.

Tegas beliau, sehingga hari ini tidak ada satu kajian yang menunjukkan merotan dengan cara yang betul dan bertujuan mendisiplinkan anak-anak adalah tidak berkesan. - UTUSAN ONLINE