Monday 26 January 2015

MEROTAN SEBAGAI KESALAHAN JENAYAH - MOHON DI KAJI SEMULA



KUALA LUMPUR 25 Jan. - Pergerakan Puteri UMNO Malaysia hari ini menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkaji secara terperinci cadangan menjadikan merotan sebagai kesalahan jenayah dalam akta baharu yang akan digubal bagi menggantikan Akta Kanak-kanak 2001.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kajian tersebut perlu merangkumi segala aspek terutama berkaitan tuntutan agama Islam yang mengharuskan ibu bapa merotan anak-anak bagi tujuan mendidik.

“Perkara ini perlu dikaji secara mendalam dengan melibatkan pandangan banyak pihak dan meneliti pelbagai aspek termasuk peranan ibu bapa untuk mendidik anak dengan cara yang tersendiri kerana ibu bapa lebih mengenali anak-anak mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebooknya hari ini.
Advertisement

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata demikian bagi mengulas cadangan kementerian tersebut yang mahu menjadikan hukuman merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah sesuai dengan perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang turut ditandatangani oleh Malaysia.

Mas Ermieyati berkata, kementerian terbabit perlu meneliti tafsiran merotan yang terkandung dalam perjanjian CRC kerana ia merujuk aspek penderaan terhadap kanak-kanak.

Katanya, kementerian itu juga perlu memperincikan pelaksanaan hukuman rotan itu memandangkan merotan dalam Islam adalah dibenarkan dan merupakan sunnah kerana bertujuan mendidik dan bukannya mendera.

“Di negara ini kebiasaannya anak-anak dirotan bukan untuk mendera sebaliknya yang berlaku ialah kanak-kanak didera secara mental seperti dikurung dan dipukul secara fizikal.
Advertisement

“Kami bimbang jika pelaksanaan hukuman itu diteruskan berkemungkinan akan berlaku banyak kes seperti pasangan Malaysia di Sweeden iaitu peningkatan statistik anak-anak dipisahkan daripada ibu bapa mereka,” katanya.

Tegas beliau, sehingga hari ini tidak ada satu kajian yang menunjukkan merotan dengan cara yang betul dan bertujuan mendisiplinkan anak-anak adalah tidak berkesan. - UTUSAN ONLINE